Kamis, 04 Juli 2013

HANTU POCONG

          
 


ENTAH kenapa malam itu Mariana sukar melelapkan matanya. Jam di dinding menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Mariana mencapai majalah Media Hiburan lalu membeleknya satu persatu. Dua puluh minit kemudian, Mariana terus hanyut dibuai mimpi malam itu.

Tepat jam 6.00 Mariana bangkit dari tidur. Dia segera ke bilik mandi. Selesai mandi, dia terus mengambil air sembahyang lalu menunaikan solat Subuh. Nyata Mariana seorang gadis yang boleh dikatakan agak rajin menunaikan solat. Kerana itu adalah pesanan ibunya di kampung.

Sudah masuk tahun kedua Mariana tinggal di asrama salah sebuah pusat pengajian tinggi (IPT) di Selangor. Mariana mengambil jurusan undang-undang. Dia bercita-cita ingin menjadi seorang peguam yang berjaya. Mariana amat berharap cita-citanya menjadi kenyataan. Kawan sebilik Mariana, Ziela yang berasal dari Kuala Terengganu juga mengambil jurusan yang sama dengannya. Boleh dikatakan mereka berdua berkawan rapat sejak awal kemasukan mereka di IPT dahulu. Sehingga kini mereka berdua tidak pernah hilang pandangan.

Mariana dan Ziela ditempatkan di bilik tingkat empat asrama yang menghadap ke arah padang dan hutan. Tetapi Mariana tidak fikir pemandangan itu menyeramkannya. Bahkan Mariana juga tidak pernah memikirkan kisah-kisah aneh yang menakutkan. Biarpun sebelum ini dia pernah mendengar ada beberapa orang penghuni asrama itu menceritakan kisah ternampak hantu bungkus serba putih yang dipanggil pocong.

Bila ada orang bercerita kepadanya, Mariana hanya memekakkan telinga saja. Katanya, semua itu karut belaka. Mariana tidak percaya adanya hantu pocong dan sebagainya. Tetapi dia percaya bahawa alam ghaib memang ada. Mariana berpendirian demikian kerana dia tidak mahu membuang masa dengan mengingatkan kisah yang dianggap karut itu.

Sepanjang berada di IPT tersebut, Mariana dan Ziela serta pelajar yang lain begitu sibuk dengan pengajian masing-masing. Mariana tidak pernah ponteng kelas pengajiannya. Tidak seperti Ziela yang pernah tidak datang kelas. Marianalah yang jadi mangsa Ziela. Segala kertas kerja Mariana akan dipinjam oleh Ziela. Mariana cukup faham dengan sikap Ziela.

Cuti semester kedua Mariana dan Ziela mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung. Alasan mereka ingin menyiapkan kerta kerja yang diberikan oleh pesyarah. Di samping itu mereka juga ingin menghabiskan masa cuti bersama kawan-kawan yang lain untuk meninjau-ninjau di kota raya Kuala Lumpur.

Di bilik asrama tempat penginapan Mariana dan Ziela, hanya tinggal mereka berdua dan empat tempat yang lain. Empat yang lain yang tinggal sebilik dengan mereka mengambil keputusan untuk balik kampung. Mariana sudah menghubungi keluarganya di kampung dan memberitahu bahawa dia tidak balik pada cuti kali ini untuk menyiapkan kertas kerja.

Cuti semester kedua tinggal empat hari saja lagi. Kampus tempat mereka belajar masih sunyi kerana pelajar masih belum datang lagi. Selepas solat Zohor, Mariana, Ziela dan beberapa kawan-kawannya yang lain keluar bersiar-siar ke kota raya Kuala Lumpur. Tidak ada apa-apa yang dibeli Mariana selain dari buah epal untuk dimakan malam nanti.

Malam itu, sekali lagi Mariana tidak dapat melelapkan matanya. Dia memandang ke arah Ziela yang sudah lama dibuai mimpi. Di bilik tidur itu hanya tinggal mereka berempat. Yang lain juga sudah tidur. Mariana tidur di tingkat atas atas katil dua tingkat. Di sebelahnya katil terdapat jaring yang boleh dipandang ke arah luar bilik.

Dalam dia termenung itu, tiba-tiba dia mengereng tubuhnya dan menghadap ke arah jaring. Dari arah jaring itu dia dapat melihat padang bola dan kawasan yang masih belum diterokai oleh mana-mana kontraktor untuk dibuat projek pembangunan atau perumahan, ataupun sekurang-kurangnya kompleks beli-belah.

Pemandangan larut malam itu hanya diterangi cahaya bulan. Mariana memandang sekeliling padang bola. Sesekali dia menoleh jam di tangannya yang sudahpun pukul 1.30 pagi. Tapi matanya masih galak menoleh ke arah luar. Dia pun tidak kenapa begitu sukar dia melelapkan matanya.

Sedang matanya memandang ke arah luar, tiba-tiba Marinana ternampak satu makhluk berbungkus serba putih memandang tepat ke arahnya. Terus bulu romanya berdiri. Jantungnya mula berdegup kencang. Segera dia menarik selimut dan menyelimuti seluruh badannya. Tak sanggup dia melihat makhluk berbungkus putih yang dipanggil pocong itu.

Menggigil tubuhnya. Dalam pada itu, Mariana terasa kain selimutnya ditarik. Mariana menarik balik. Dia terus berlawan tarik menarik kain selimutnya. Ketika itu juga, Mariana terasa tangannya tertarik kain lain. Agak kasar dan licin seperti kain kapan. Tapi dia tidak berani untuk menoleh. Keadaan itu berterusan selama beberapa ketika sehinggalah pocong itu hilang dengan tiba-tiba.

Bila merasakan selimutnya sudah tidak ditarik lagi, Mariana segera turun dari tempat tidurnya dan tidur di sebelah Ziela. Dia akhirnya terlelap di sisi Ziela. Keesokan harinya, Mariana menceritakan apa yang dia lihat dan dialaminya semalam kepada Ziela dan seorang kawannya. Ziela hanya tersenyum dan menyindir Mariana kerana tidak percaya kepada cerita adanya pocong sebagaimana yang diceritakan orang sebelum ini.
 


Sumber


          

0 komentar:

Poskan Komentar

Blog Archive