Rabu, 01 Agustus 2012

Permata Buat Isteri

As Salam semua

Kalau dulu masa aku sekolah, bila dengar perkataan curang dengan pasangan je automatik aku tahu curang atau selingkuh itu hanya berlaku di pihak lelaki. Aku pun tak tahu kenapa tipikal sangat aku masa tu. Mungkin sebab pengalaman dan pergaulan yang cetek menyebabkan aku hanya mengikut arus. Tak pun berfikir secara rasional. 

Time by time, aku baru sedar yang perbuatan tak bermoral ni turut berlaku di kalangan para isteri. Nauzubillah! Bukan sekali dua aku dengar, banyak kes dah yang dihadapkan depan aku. Itulah rencamnya manusia. Seribu satu perangai. Ada sahaja yang tak dipuaskan. Tak langsung disyukuri nikmat yang ada. 

Memang kalau ikut umur aku yang baru cecah 23 tahun ni, aku bukanlah selayaknya insan yang patut menegur perkara sebegini. Malahan, aku juga takut sekiranya teguran aku ni kena batang hidung sendiri. Tapi pendirian aku berbeza. Tak kira tua mahupun muda, sesiapa juga boleh beri nasihat. Malahan amalan nasihat menasihati itu sangat dituntut agama. Lebih-lebih lagi dalam hal sebegini. Hal yang melibatkan kukuhnya sebuah masjid impian. 

Aku tak risau sangat kalau perempuan yang curang itu hanya sekadar seorang girlfrend ataupun tunangan orang. Sebab aku rasa selama masa itu, semua orang mempunyai hak untuk memilih. Memilih yang terbaik buat diri sendiri. Tapi bila mana seorang perempuan yang bergelar isteri dan seorang ibu berlaku curang pada sang suami, aku mengucap panjang. Tak terbayang aku, bagaimana kehidupan perempuan tersebut yang sanggup berpura-pura mencintai, mampu hidup bersama dan menipu suaminya sedangkan hatinya mengingati orang lain. 


Tempat seorang isteri itu adalah disisi suami. Tugas seorang isteri adalah menjaga maruah, harta dan nama baik seorang suami bukannya menduakan dia. Berdosa besar hukumnya seorang isteri yang menduakan suaminya kerana seorang perempuan yang bersuami haram untuk menikahi mahupun mengingati seorang lelaki lain.  

Serba serbi dari luaran langsung tak nampak dimana kurangnya. Aku rasa sang suami sudah cukup memberikan kebahagiaan, keselesaan dan kemewahan. Tapi tak dapat aku pastikan secara batinnya bagaimana. Tapi, kalau tak puas secara batin tak kan anak berderet sampai lima? Namun, alangkah terkejutnya aku bila jawapan yang diterima dari seorang isteri curang yang telah berpuluh tahun hidup dengan si suami tadi ialah 

"Dalam perkahwinan, akan timbul satu masa bila kau mula bosan dengan pasangan!" 

Kelu lidah aku. Tak terduga aku jawapan itu datangnya dari mulut seorang isteri, seorang ibu dan seorang yang disanjungi masyarakat. Aku tertanya-tanya, perlu kah bosan menjadi isu? Adakah kau samakan perkahwinan dengan hal-hal duniawi yang lain seperti pekerjaan? Hari ni suka, esok dah benci. Bukankah satu masa dulu, akad nikah yang kau aminkan doanya merupakan simbol bahawa kau menerima dia sehingga ke akhir hayat kau wahai isteri? Kenapa perlu berpaling tadah dengan si suami yang setia itu? Apa dosanya? Layakkah kau dijadikan contoh buat anak-anak kau? 

Bila aku hadap kes macam ni, aku terus teringat kata Ustazah Solehah, ustazah yang mengajar Munakahat masa aku darjah khas sekolah agama dulu. Dia pernah berpesan pada kami "Sekiranya mana-mana wanita meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab yang kukuh, maka terhalanglah dia daripada mencium haruman syurga." Riwayat Abu Daud. 


Pada aku, selagi seorang wanita bernama isteri, selagi si suami menjalankan tanggungjawab nafkahnya zahir dan batin, tidak pernah mencederakan kamu, menjadi imam hidupmu,  teruslah taat dan setia kepada dia. Jangan sesekali menimbulkan isu bodoh semata-mata mahu melepaskan diri. Syukurlah jodoh kau dengan dia. Belum tentu insan yang kau kejar itu mampu membahagiakan kau sebagaimana si suami setia ini berikan! Redhalah dengan kekurangannya dan jadilah isteri yang melengkapi bukan isteri yang menyakitkan hati. Sesungguhnya, imam terbaik kau berada di depan mata. Bukan insan yang cuba menghancurkan rumah tangga kau itu! 

Pesanan buat diri sendiri juga yang suatu hari bakal menjadi seorang zaujah pada seorang suami. 

p/s: cuba dengar lagu Kopratasa- Permata Buat Isteri... masihkah kau ingat? 







0 komentar:

Poskan Komentar