Senin, 08 Agustus 2011

Upin & Ipin di Istana Budaya

UPIN & IPIN! Walau hanya sekadar figura animasi tiga dimensi (3D), penangan yang dibikin bukan hanya dalam kalangan kanak-kanak bahkan menjangkau setiap kelompok penonton termasuk warga veteran.
Siri animasi yang memulakan siaran sulung tahun 2006 itu kini sudah mendapat peminat sendiri di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa negara Asia Tenggara yang lain setelah sayap siarannya dilebarkan oleh syarikat Les’Copaque menerusi Disney Channel Asia.
Berbekalkan kejayaan filem Geng: Pengembaraan Bermula yang mencapai kutipan tiket sebanyak RM6.3 juta selain aplikasi Pocket Ipin sebagai aplikasi berbayar sepuluh teratas untuk Malaysia’s Apple App Store, karakter comel itu akan diterjemahkan ke pentas muzikal menjelang awal tahun depan.
Menurut Penerbit Eksekutif Muzikal Upin & Ipin, Burhanuddin Md. Radzi yang merupakan Pengarah Urusan Les’Copaque Production Sdn. Bhd., keyakinan yang tinggi disandarkan menerusi pembikinan teater muzikal itu.
“Sudah tiba masanya untuk pihak kami mengambil bahagian untuk memeriahkan pentas teater tanah air dan saya pasti Upin & Ipin telah pun mencipta satu fenomena dan ada pengikutnya sendiri,” katanya yang bercadang mementaskan sebanyak 30 persembahan bagi menjamin peluang saksama dan kepuasan penonton yang hadir.
Tarikh sebenar pementasan teater muzikal berskala RM2 juta itu bagaimanapun masih dalam proses perbincangan dengan pihak Istana Budaya.
Muzikal Upin & Ipin itu turut mendapat kerjasama daripada penerbit teater muzikal ternama, CTRA Production yang berpengalaman menerbitkan 29 buah teater sepanjang 16 tahun berlegar di arena seni persembahan.

PELAKON cilik yang meminjamkan suara untuk karakter Upin & Ipin, Asyiela Putri Azhar (tengah) bersama karakter yang bakal muncul menerusi Muzikal Upin & Ipin.


Menurut penerbit bersama Muzikal Upin & Ipin, Siti Rohayah Attan, naskhah itu adalah yang pertama kali dihasilkan di Malaysia melalui proses transformasi karakter animasi 3D ke dalam format persembahan bercirikan kostum yang pelbagai.
“Pertama kali produksi di Malaysia yang merealisasikan watak dalam sebuah siri animasi dan menggabungkan pelbagai maskot serta kostum daripada siri Upin & Ipin untuk berlakon, menyanyi dan menari di pentas agung Istana Budaya,” kata penerbit Muzikal Tun Mahathir dan Mak Dara Nyonya itu lagi ketika sidang akhbar Muzikal Upin & Ipin di Istana Budaya baru-baru ini.
Muzikal Upin & Ipin mengisahkan kehidupan kembar anak yatim piatu iaitu Upin dan Ipin di Kampung Durian Runtuh. Tinggal bersama kakak mereka, Kak Ros dan Opah, karakter comel itu juga memiliki kawan-kawan rapat yang belajar di Tadika Mesra antaranya Jarjit, Mei-Mei, Ehsan, Mail dan Fizi.
Pementasan itu kelak bakal menyelitkan imaginasi kanak-kanak di luar batasan dalam kehidupan seharian seolah-olah sebuah pengembaraan tanpa batasan menuju ke dunia angkasa lepas, lautan dan belantara.
Bakal mendapat sentuhan skrip dan arahan daripada pengarah berbakat Zaifri Husin, Muzikal Upin & Ipin akan disertai oleh barisan nama-nama berbakat besar seperti Pak Ngah dan A. Aris Kadir masing-masing selaku pengarah muzik dan koreografer.
Oleh itu, bagi yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada tenaga produksi muzikal yang bakal meledakkan pentas berprestij Panggung Sari Istana Budaya boleh menghadiri sesi uji bakat yang akan dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad bertarikh 13, 14, 20 dan 21 Ogos ini di Istana Budaya bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang.
Syarat-syaratnya mestilah berumur di antara 6 hingga 35 tahun, boleh menari, menyanyi dan berlakon, sihat dan lincah serta terbuka kepada semua warganegara Malaysia.
Keterangan lanjut hubungi 03-6186 6592 atau 03-5511 8089 serta laman sesawang www.lescopaque.com.

0 komentar:

Posting Komentar

Blog Archive