Senin, 08 Agustus 2011

Op Pasir ATM

SEJAK Operasi Pasir (Op Pasir) dilancarkan pada 18 September 2000 kira-kira 11 tahun lalu di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama (MAB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keselamatan perairan dan kepulauan di kawasan pantai utara dan timur Sabah berjaya didaulatkan kembali.
Peranan MAB menerusi Op Pasir berjaya mengatasi masalah pencerobohan dan penculikan di kawasan berkenaan yang sebelum itu dihantui dengan dua tragedi kes penculikan membabitkan Kumpulan Abu Sayaf pada April dan September 2000.
Op Pasir yang menggantikan Op Padan mengambil singkatan lokasi insiden kes penculikan tersebut yang berlaku iaitu di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan Resort.
Usaha MAB itu sekali gus mengembalikan semula keyakinan pelancong luar terhadap tahap keselamatan kawasan perairan dan kepulauan di Sabah terutamanya dalam kalangan pencinta aktiviti menyelam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, ketika ini kawasan operasi di bawah kawal selia MAB meliputi 22 buah pulau dan 11 kawasan pesisiran pantai sepanjang 1,577 kilometer dari Tawau di timur Sabah sehingga Kudat yang terletak di utara.
Ketumbukan MAB pada masa ini diperkuatkan dengan 1,500 pegawai dan anggota tentera Malaysia yang memantau perairan Sabah menggunakan radar canggih, kapal terbang tanpa pemandu, helikopter dan bot-bot pemintas.
Dalam lawatan ke Pangkalan Operasi Hadapan Op Pasir di Kem Kukusan di Tawau yang turut disertai media, Ahmad Zahid membayang tanggungjawab MAB akan diperluaskan ke Laut China Selatan kerana kemungkinan konflik ekoran tuntutan bertindih beberapa negara di perairan tersebut.

SERAMAI 1,500 pegawai dan anggota MAB bersiap siaga memantau keamanan di perairan Sabah.


"Op Pasir bukan sahaja menjaga aset negara tetapi, dalam masa lima tahun atau satu dekad akan datang MAB akan jadi lebih penting kerana kawasan-kawasan konflik yang dijangka timbul di Laut China Selatan.
"Operasi MAB ketika ini menjamin keselamatan negara terutamanya di kawasan berpulau di Laut Sulu. Jika tiada MAB kawasan ini memang menjadi kawasan sensitif khususnya aktiviti pelanunan," katanya.
Siap siaga menjaga Spratly
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menjelaskan, negara-negara Asia Tenggara yakin perairan Spratly di Laut China Selatan bakal menjadi rebutan pada masa depan kerana potensi ekonomi dan simpanan petroleum di kawasan itu yang dianggarkan mengandungi 300 bilion tong minyak dan 600 bilion kubik padu gas.
"Kita tidak mahu Laut China Selatan menjadi kawasan konflik," tegas beliau.
Menurut Ahmad Zahid, selain rundingan pelbagai hala beliau mencadangkan supaya tuntutan bertindih di Spratly diselesaikan dengan cara yang lebih menguntungkan dengan cara menubuhkan Special Purpose Vehicle iaitu pembentukan sebuah 'syarikat' yang dikongsi bersama dengan penyertaan ekuiti dari seluruh negara ASEAN terlibat.

DEMONSTRASI menyelamatkan tebusan yang pertontonkan oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) di Pulau Siamil dan Program Jiwa Murni ATM di Pulau Danawan.


Lawatan yang disertai Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menerangkan kepada media mengenai Sistem Pengawasan Op Pasir atau Joint Regional Command Centre (JRCC) yang terdapat di MAB. Ia bertindak sebagai pusat pemantauan semua maklumat pengawasan di kawasan tanggungjawab Op Pasir menerusi asetUnmaned Aerial Vehicle (UAV) atau pesawat terbang tanpa pemandu.
Maklumat-maklumat yang diperoleh melalui radar sloop atau real time video akan dipancarkan secara langsung ke JRCC iaitu Pangkalan Operasi Hadapan Op Pasir.
"Dalam pelaksanaan Op Pasir, salah satu kaedah yang digunakan adalah untuk mengoptimumkan penggunaan Government Integrated radio Network (GRIN) atau Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan.
"GRIN adalah sebuah projek sistem komunikasi bersepadu seluruh negara dan ia merupakan rangkaian radio digital bersepadu yang dibangunkan untuk agensi-agensi keselamatan, penguatkuasaan dan kecemasan yang berkongsi prasarana tetapi masih mengekalkan autonomi setiap agensi," kata Ahmad Kamarulzaman.
Program jiwa murni

SELEPAS 11 tahun menjaga keselamatan perairan Sabah tiada lagi kes penculikan seperti yang pernah berlaku di Pulau Sipadan.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, peranan MAB bukan sekadar untuk menjalankan tugas-tugas operasi ketenteraan, malah melaksanakan program-program jiwa murni untuk mengukuhkan tali persaudaraan dengan warga tempatan di Pulau Danawan di timur perairan Sabah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Danawan, Abd. Ghani Mahajud, 51, berkata, sepanjang tentera bertugas di pulau tersebut dan kawasan sekitar, nyata ia memberi kestabilan serta keamanan di mana tiada kes-kes pencerobohan berlaku.
"Ketenteraman penduduk di kampung ini sudah selesa sejak mereka (tentera) bertugas di sini. Tiada lagi kes penculikan mahupun rompakan di laut dan penduduk kampung rata-rata sebagai nelayan bebas melakukan aktiviti harian mereka.
"Sebagai ketua (Pengerusi JKKK) saya amat berterima kasih kepada ATM yang berkhidmat menjaga kesejahteraan kami di sini," katanya.
Tambah Abd. Ghani, daripada 1,706 penduduk kampung di Pulau Danawan lebih kurang 200 daripada jumlah itu adalah penduduk berstatus penduduk sementara.

0 komentar:

Posting Komentar

Blog Archive