Sabtu, 13 Agustus 2011

Bazaar Ramadan Karyawan 2011


SEMPENA bulan Ramadan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) telah menyediakan tapak perniagaan buat artis terutamanya mereka yang bernaung di bawah persatuan tersebut.
Dikenali sebagai Bazaar Ramadan Karyawan dan julung kali diadakan, projek Karyawan itu nyata mendapat sambutan hangat daripada para artis. Daripada 60 tapak gerai yang disediakan, 10 gerai tersebut dikendalikan oleh artis termasuk Datuk Sarimah Ahmad, Atilia dan Jamal Abdillah.
“Matlamat Karyawan kali ini adalah untuk membantu para artis berniaga pada bulan Ramadan. Selain menambah pendapatan, cara ini juga dapat mendekatkan artis dengan peminat mereka,” kata Presiden Karyawan, Datuk Freddie Frenandez pada majlis pelancaran bazar tersebut baru-baru ini.
Bazar yang terletak di River City, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang menyempurnakan majlis pelancaran bazar itu menyifatkan program seumpama itu sangat berguna untuk persediaan masa depan para artis.

FREDDIE dan Sarimah bersama Ismail Sabri yang merasmikan pelancaran Bazaar Ramadan Karyawan.


“Artis veteran hari ini pernah popular satu masa dulu, hal yang sama akan berlaku pada artis muda kita sedikit masa lagi.
“Jika mereka tidak menyimpan dan berusaha untuk menambah pendapatan dari sekarang, apabila mereka jadi veteran siapa yang mahu tolong mereka jika bukan diri mereka sendiri.
“Kementerian memberi galakan dan sokongan setakat yang kami mampu, selebihnya terpulang kepada diri artis itu sendiri,” kata Ismail.
Pada majlis yang sama, Bank Rakyat turut memberi sumbangan berjumlah RM20,0000 untuk dua rumah anak yatim baharu yang terletak di Bukit Jelutong serta 17 artis veteran yang bernaung di bawah Karyawan.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis termasuk Kilafairy, Roslan Shah, Neelofa, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman dan Azza Elite.

0 komentar:

Posting Komentar

Blog Archive