Minggu, 31 Juli 2011

Konsert MahaDewa di Malaysia 2011

Setelah berjaya menganjurkan konsert Slash Live In Kuala Lumpur 2010 dengan cemerlang, Syarikat Penerbangan Komuniti, FlyFirefly Sdn Bhd kini bersedia untuk membawakan sebuah lagi konsert yang menampilkan sebuah kumpulan hangat dari Indonesia, Mahadewa. Kumpulan yang dipelopori oleh Ahmad Dhani daripada Dewa 19 ini bakal menggegarkan Stadium Larkin Johor Bahru pada 19 November hadapan.



Dalam sidang media yang diadakan kelmarin, Ketua Pemasaran dan Komunikasi FireFly, Angelina Fernandez memberitahu, pihaknya memilih Mahadewa untuk konsert kali ini kerana percaya pengaruh Ahmad Dhani cukup kuat untuk menarik ramai peminat muzik di sini.

“Daripada tinjauan rambang yang saya lakukan setiap kali ke Indonesia, nama Ahmad Dhani ini memang cukup popular dan punya pengaruh yang kuat di kalangan peminat muzik di sana. Begitu juga di Malaysia, ramai yang mengenali Ahmad Dhani kerana dia juga adalah anggota kumpulan Dewa 19 yang sangat popular sehingga kini

Saya percaya dengan kekuatan dan pengaruh yang ada pada Ahmad Dhani ini, konsert MahaDewa Live in Johor Bahru pada 19 November hadapan pasti mendapat sambutan yang memberangsangkan. Malah, saya juga yakin, ramai peminat dari Singapura akan turut berminat. Selain itu, pemilihan ini juga dibuat kerana kami mahu mempromosikan laluan terbaru Firefly, Johor Bahru-Surabaya dan Johor Bahru-Bandung bermula 12 dan 16 Ogos ini.

Selain menjual tiket konsert pada harga RM60, Firefly juga menyediakan beberapa pakej percutian yang sesuai diambil oleh peminat-peminat yang berada di luar Johor Bahru. Dengan pakej percutian ini, peminat akan mendapat tiket penerbangan pergi dan balik dari destinasi pilhan (Bandung, Surabaya, Kota Kinabalu, Kuching, Batam dan Singapura), penginapan serta sekeping tiket konsert MahaDewa,” ujar Angelina.

Menjawab persoalan tentang penglibatan artis tempatan, Angelina memaklumkan, pihaknya sedang berbincang untuk mendapatkan artis tempatan bagi membuat persembahan pembukaan.
“Buat masa sekarang, kami tidak dapat mengumumkan nama kumpulan atau artis tempatan yang akan membuat persembahan pembukaan. Tetapi kami bercadang untuk mendapatkan kumpulan indie. Kami akan umumkan apabila semuanya telah disahkan,” tambah Angelina lagi.

Bagi yang berminat untuk membeli tiket Konsert MahaDewa Live In Johor Bahru, anda boleh membuat pembelian di semua Kaunter Jualan Tiket Firefly, Victoria Music Centre (Sg. Wang Plaza, Tropicana City Mall, Amcorp Mall, Bangsar Shopping Centre) dan Music Valley (Terminal Bas Larkin, Angsana Mall, JB).

Untuk pembelian secara online, anda boleh melayari laman sesawang www.fatdeal.com.my. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 03-78463622.

0 komentar:

Posting Komentar

Blog Archive