Selasa, 31 Mei 2011

Pameran Karnival Proton di Himpunan Sejuta Belia sempena sambutan Hari Belia 2011

PUTRAJAYA, 27 MEI 2011 - PROTON akan menggegarkan suasana di acara Himpunan Sejuta Belia sempena sambutan Hari Belia 2011 pada hujung minggu ini dengan penampilan ruang pameran karnivalnya yang unik dan berbeza serta pelbagai program istimewa yang bakal menarik minat para belia dan remaja yang berkunjung ke acara tersebut.

Sepanjang tiga hari, iaitu mulai 27 hingga 29 Mei 2011, orang ramai yang berkunjung ke Putrajaya, akan berpeluang untuk mengalami kemeriahan suasana yang dihidupkan di ruang pameran karnival syarikat kereta nasional tersebut dan menyaksikan pameran kereta serta pelbagai lagi demonstrasi dan pertunjukan yang disediakan. Para pengunjung juga akan berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah yang menarik menerusi pertandingan dan permainan yang menyeronokkan serta membeli pelbagai barangan menarik berjenama PROTON, barangan dan aksesori sukan permotoran R3 serta barangan dari pasukan Formula 1, Lotus Renault Grand Prix yang turut diperagakan.

“PROTON telah membuat persiapan yang rapi untuk menghasilkan satu penampilan yang segar dan bertenaga melalui pelbagai aktiviti dan pameran yang menarik di ruang pameran karnival kami. Ini semua dilakukan khusus untuk menyambut tetamu istimewa kami, iaitu generasi muda yang akan membanjiri acara sambutan besar-besaran Hari Belia pada tahun ini,” menurut En. Mohamad Shukor Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar Sdn. Bhd.

“Berbeza dari tanggapan sesetengah pihak bahawa PROTON adalah jenama yang hanya berkait rapat dengan individu yang sudah berkeluarga atau individu dengan gaya hidup sederhana, di acara Hari Belia tahun ini, kami ingin berkongsi dengan orang ramai terutamanya para belia akan hakikat bahawa PROTON juga merupakan satu jenama yang dekat di hati generasi muda yang mementingkan penampilan dan gaya. Kereta keluaran kami seperti Satria Neo yang menampilkan elemen prestasi serta pemanduan dan pengendalian yang ‘sporty’ pastinya menepati citarasa pilihan ramai belia dan remaja. Proton Saga pula sering menjadi pilihan para belia di kolej dan universiti serta mereka yang baru sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Begitu juga dengan Proton Persona dan Inspira yang bersesuaian untuk belia yang berkerjaya mahupun eksekutif muda yang berjaya. Jelas sekali, PROTON memberikan kepelbagaian pilihan untuk para belia atau individu yang berumur 40 tahun ke bawah,” menurut beliau lagi.

Di antara tarikan utama yang menunggu para pengunjung ruang pameran karnival PROTON, khususnya para peminat sukan permotoran adalah peluang keemasan untuk melihat sendiri kereta lumba Formula 1 milik pasukan Lotus Renault Grand Prix yang dipandu oleh pelumba Nick Heidfeld dan Vitaly Petrov. Turut dipamerkan buat pertama kalinya di Malaysia adalah model Artiga, iaitu varian Satria Neo yang telah diubahsuai sepenuhnya oleh Bahagian Sukan Permotoran PROTON dan menampilkan penggayaan rekabentuk lebih lebar serta bahagian-bahagian kereta yang diperbuat dari serat karbon untuk prestasi yang maksimum. Bagi peminat kereta lumba mewah pula, kehadiran model Lotus Evora pasti akan menambat hati dan mencetus ingatan mereka kepada pelbagai filem Hollywood seperti ‘The Fast and Furious: Tokyo Drift’ yang menggunakan kereta-kereta Lotus sebagai daya tarikan.

Bagi peminat kereta-kereta konsep dan inovasi pula, mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melihat dengan lebih dekat pameran kereta konsep Jebat, yang merupakan interpretasi rekabentuk semula model Proton Inspira dengan penggayaan yang menampilkan bahagian luar yang lebih lebar, agar ia kelihatan lebih ‘sporty’ dan agresif. Pengunjung juga akan dapat menyaksikan pameran beberapa rekaan kereta inovasi yang merupakan hasil kreativiti dan ciptaan kakitangan PROTON dengan menggunakan komponen serta bahagian kereta terpakai.

Di ruang pameran karnival tersebut, PROTON turut mempamerkan kereta rali Malaysian Super Series Satria Neo yang telah menempa kejayaan tempat pertama untuk pasukan PROTON R3, melalui pemandunya Faidzil Alang dalam pertandingan Malaysian Super Series yang baru saja berlangsung,. Model baru R3 Satria Neo, yang telah dimantapkan lagi dengan kit prestasi R3 untuk mencapai kuasa 145bhp@7,000rpm iaitu lebih 13% dari enjin asal Satria Neo, turut dipamerkan dan pastinya akan menarik perhatian remaja yang berkunjung ke ruang pameran karnival PROTON. PROTON juga turut mempamerkan keupayaan teknologi hijaunya melalui model kereta Exora REEV atau ‘Range Extended Electric Vehicle’ yang telah memenangi Pertandingan ‘Brighton to London Future Car Challenge’ di United Kingdom.

Di samping pameran kereta tersebut, pengunjung gerai karnival PROTON akan dapat menikmati keseronokan melalui aktiviti-aktiviti seperti pertandingan cabaran simulator pemanduan. Dalam pertandingan ini, hadiah-hadiah yang menarik menunggu mereka yang mampu menunjukkan kecekapan pemanduan simulasi yang tinggi. Orang ramai juga akan dapat menyaksikan pertunjukan pembukaan dan pemasangan semula enjin Campro secara langsung, serta peragaan fesyen gaya hidup PROTON yang memanifestasikan gaya hidup pemilik kereta Proton dengan penampilan fesyen serta aksesori dan barangan berjenama PROTON.

Sempena acara Hari Belia pada tahun ini juga, PROTON akan menganjurkan satu konvoi yang terdiri daripada 200 buah kereta yang diwakili oleh pelbagai Kelab Kereta PROTON. Konvoi tersebut akan memulakan perjalanannya pada 28 Mei 2011 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), melalui Persiaran Perdana dan kembali semula ke PICC. Wira badminton nombor satu Negara, Datuk Lee Chong Wei juga akan turut sama memeriahkan lagi suasana gerai karnival dengan penampilan istimewa untuk bertemu dan beramah mesra dengan peminat badminton tanahair. Inilah peluang keemasan untuk para peminat bergambar dengan beliau dan mendapatkan autograf di atas poskad sebagai cenderahati kenang-kenangan. Datuk Lee Chong Wei dijangka bertemu peminat-peminatnya pada pukul 4 petang pada 29 Mei 2011.

“Generasi muda adalah pembeli kereta PROTON di masa hadapan. PROTON komited untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan yang menepati citarasa penggunanya. Dengan mendekati generasi baru pembeli kereta Proton, kami bukan sahaja dapat berinteraksi dan lebih memahami apa yang mereka inginkan, malah mereka juga akan lebih mengenali jenama PROTON dan mengetahui perkembangan, kemajuan dan hala tuju kereta buatan nasional,” kata En. Mohamad Shukor lagi.

Sebagai salah satu daripada penaja utama sambutan Hari Belia pada tahun ini, PROTON juga telah menyumbangkan sebanyak 20 kenderaan dari model-model keluarannya untuk digunakan oleh pihak penganjur bagi menjayakan acara sambutan Hari Belia

sumber proton

0 komentar:

Poskan Komentar

Blog Archive